Tuesday, April 29, 2008

UMNO, MELAYU DAN KERIS

Mutakhir ini kita digemparkan sekali lagi dengan suatu keputusan yang bagi saya satu keputusan yang paling tidak bijak yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Dato' Hishamudin.

Isunya;
'Memohon Maaf Kerana Menjunjung Keris'

kenyataan beliau ini bagi saya cukup menghiris perasaan;


"Kepada orang Melayu, saya minta maaf kerana tidak dapat pertahankan simbol warisan kita yang sebenarnya," katanya.

Menurut beliau, ia merupakan satu pengajaran sedih apabila terpaksa mengetepikan warisan budaya bangsa kerana politik.

"Saya bukannya orang yang angkuh atau 'arrogant' yang tak boleh terima hakikat itu. Itu merupakan satu pengajaran yang sedih.

"Tapi kalau politik sebegitu rupa, kita sebagai pemimpin mesti besar hati dan jiwa meletakkan kedudukan BN (parti) lebih penting daripada sesuatu," katanya.


Pertama-tamanya saya memang tidak setuju dari dahulu apabila beliau menjunjung keris pada persidangan Pemuda UMNO. Sebabnya mudah;

1) Beliau tidak faham fungsi keris dalam budaya Melayu dan sebenarnya dangkal dalam memahami budaya Melayu.
2) Beliau tidak faham adab dan adat Melayu ketika menjunjung keris apatah lagi memahami makna tersirat disebalik hal itu.

Oleh kerana kedangkalan beliau tentang budaya Melayu inilah maka beliau terpaksa memohon maaf dan meletakkan budaya Melayu semakin terhakis dan semakin malap.

Saya melihat perlahan-lahan bukan setakat Melayu hilang kuasa tapi Melayu akan hilang budayanya. Maka benarlah kata Laksamana Hang Tuah 'Takkan Melayu Hilang DiDunia' cuma yang berlaku adalah 'Dunia Melayu Akan Hilang Dari Bumi Ini'.

Keris merupakan simbol pusat budaya dan pemahaman terhadap sejarah sesuatu bangsa. Reka bentuk keris menjadi cerminan bangsa Melayu yang menggambarkan kreativiti, manifestasi yang tinggi, seni ukir dan tukangan yang begitu halus hasil ketajaman fikiran penukangnya. Hasilan ini diindahkan dengan seni penggunaan dan seni permainan dalam silat Melayu yang diharmonikan dengan pergerakan-pergerakan yang penuh ‘berisi’ dan ‘berahsia’ hasil pengungkapan dan pengolahan minda yang begitu mendalam.

Keris turut menjadi lambang, darjat dan kudrat kekuasaan bangsa Melayu yang mencerminkan ketinggian budaya dan ketamadunannya.

Adat mencium dan menjulang keris dalam masyarakat Melayu hanya berlaku dalam dua keadaan;

1)Semasa menerima keris tersebut dari Raja/Sultan sebagai menghargai kurnia tersebut dan menghormati kedudukan keris itu.


2) Apabila seseorang pemilik keris itu menjaga keris tersebut secara ritual yang bertentangan dengan ajaran Islam ( berlaku sebelum kedatangan Islam dan awal kedatangan Islam), iaitu memperasapkan keris dengan kemenyan, memandikan dengan limau dan dibungkus dengan kain kuning sebelum keris tersebut disimpan ditempatnya, samada di dinding atau di para atau di dalam almari. Semasa ritual memandikan keris ini, si pemilik akan mencium keris sebelum memasukkan ke sarung dan seterusnya disimpan.

Maka dengan memahami situasi-situasi seperti yang diterangkan maka perlakuan Hisamudin menjunjung dan mencium keris hanyalah sebagai suatu simbolik semangat kepahlawanan Melayu yang kuat,tabah dan berani menghadapi cabaran.

Namun dalam kegagalan memahami fungsi dan peranan keris dalam adab dan adat Melayu akhirnya penerangan yang jelas tidak dapat diberi dan dikongsisama dengan bangsa lain.

Apakah selepas ini persilatan Melayu juga akan jadi korban budaya?

Fikir...Fikirkan lah............

Wassalam.

Friday, April 25, 2008

Menginsafi tanggungjawab Sebagai Pemimpin

Suatu artikel dari Utusan Malaysia (25/04/08) Oleh A. Mohd. Rahimin Sihat


Sesuatu yang patut di baca difikirkan.....

DALAM hubungan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, seperkara yang perlu kita ingat ialah sebagai insan atau makhluk terbaik yang dicipta oleh Allah, kita memikul dua amanah yang penting. Pertama, amanah sebagai hamba Allah yang dituntut supaya kita mengabdikan diri kepada-Nya.

Kedua, amanah sebagai khalifah di muka bumi yang diberi peranan untuk membangunkan insan dan alam berpandu kepada syariat Allah SWT dengan harapan akan wujud keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati bersama.

Dalam konteks pembangunan dan memakmurkan negara, amanah untuk menguruskan dan mentadbir negara terpikul di bahu para pemimpin yang pada dasarnya mempunyai tiga peranan utama iaitu:

i. Mewujudkan suasana aman dan damai (mengelakkan rasa takut dan cemas bagi setiap penduduknya).

ii. Mewujudkan kemakmuran dan keluasan rezeki dalam penghidupan (rakyat dalam keadaan sihat jasmani dan rohani).

iii. Melahirkan manusia-manusia yang baik dan berakhlak mulia.

Dengan penjelasan demikian, peranan dan tanggungjawab seseorang pemimpin itu sebenarnya amat besar dan dirasakan amat berat. Oleh itu sebagai seorang pemimpin sama ada terhadap diri dan keluarga apatah lagi jika memegang kepimpinan yang lebih besar, kita beramanah dan bertanggungjawab atas kepimpinan tersebut malah meletakkan masalah kepimpinan itu pada tahap paling atas sesudah beriman kepada Allah dan Rasul.

Dalam menjayakan sesuatu rancangan yang telah dirangka, seseorang pemimpin hendaklah sentiasa meningkatkan ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah dengan harapan Allah akan memberi pertolongan dan kemudahan dalam mencapai matlamat kepimpinan yang di sebut tadi. Perlu disedari, jika tidak mendapat pertolongan daripada Allah, pasti kita akan gagal dalam melaksanakan sesuatu tugas sebagaimana madah seorang penyair sufi.

Ia berbunyi: "Kalaulah tidak ada pertolongan Allah kepada seseorang pemuda, maka faktor pertama yang merosakkan dirinya ialah usaha dan kesungguhannya sendiri".

Sebagai seorang pemimpin yang beriman kepada Allah, hendaklah menjadikan diri Rasullullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik. Ini kerana Baginda SAW mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unggul seperti berilmu dan bertakwa, amanah dan bertanggungjawab, adil dan tegas, mengutamakan kepentingan umum terlebih dahulu daripada kepentingan diri sendiri, hidup amat bersederhana dan tidak bermewah-mewah, mengamalkan dan menghargai pendapat serta teguran orang bawahan.

Ini menjadikan diri baginda Rasulullah SAW dikasihi oleh Allah dan para umatnya, malahan baginda juga dihormati dan disegani oleh musuh-musuhnya.

Justeru, para pemimpin hari ini perlulah menjadikan diri Rasulullah SAW sebagai idola dan model kepimpinan yang terunggul. Kebijaksanaan dan ketokohan Baginda sebagai seorang pemimpin agung melayakkan diri baginda SAW sebagai pemimpin umat yang berjaya, pemimpin rumah tangga yang penyayang, sebagai guru atau pendidik yang tidak mengenal putus asa, bahkan sebagai ketua atau panglima di medan perang yang gagah berani dan sebagainya.

Dan betapa pula kita pada hari ini sebagai pemimpin terhadap diri sendiri, pemimpin dalam keluarga, pemimpin dalam sebuah organisasi atau pertubuhan malahan mungkin ada di antara kita yang menjadi pemimpin lebih besar lagi daripada yang di sebutkan tadi.

Adakah kita benar-benar prihatin dengan kepimpinan kita? Dan adakah kita sentiasa menginsafi bahawa kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan-Nya mengenai kepimpinan kita di dunia ini.

Amat mendukacitakan, keghairahan sekelompok pemimpin yang menawarkan diri menjadi ketua atau pemimpin dalam pertubuhan dan organisasi yang mencetuskan banyak polemik dan isu amat dikesali. Ini kerana, perebutan kuasa dan pertelagahan untuk melayakkan diri mereka memimpin sesebuah organisasi dan pertubuhan telah melenyapkan konsep syura atau perundingan yang menjadi salah satu dasar dalam ajaran Islam.

Sejarah telah membuktikan ketika Rasulullah SAW wafat, para sahabat telah berbincang untuk memilih pemimpin bagi menggantikan baginda, lalu para sahabat memilih Saidina Abu Bakar sebagai pemimpin berdasarkan sistem syura. Islam telah menggariskan beberapa kriteria untuk melayakkan seseorang menjadi pemimpin iaitu, hendaklah seorang yang amanah, berkemampuan, berpengalaman dan bertakwa kepada Allah.

Thursday, April 24, 2008

UMNO dan Melayu

Apakah kesudahannya?...pertelagahan UMNO dengan UMNO. Ada yang kata kehadiran Tun Mahathir dalam mengkritik pentadbiran Pak Lah adalah punca pertelagahan. Namun apa yang dibimbangi adalah kesan dari keriuhan dan kerancakan berpolitik ini kepada bangsa yang bernama Melayu. Masing - masing seolah-olah hanya membicarakan hal hal yang lebih bersifat personal atau mempertahankan kewibawaan diri yang sebenarnya memberikan keuntungan buat pembangkang tetapi kesan yang lebih memilukan adalah pada Melayu itu sendiri.

Adakah Melayu akan tersepit di tengah - tengah percakaran ini , kerana kita tidak mengambil peduli implikasi yang terhasil darinya. Kegagalan ini akan membawa kerugian yang amat besar pada bangsa Melayu, bangsa yang sehingga kini tersisih dan tersepak ketepi akibat dari perbalahan kepimpinan UMNO yang seolah-olah tiada noktah dan akhirnya semenjak UMNO mula hidup dalam politik tanah air.

Bukan soal siapa menang atau kalah, samada Tun Mahathir menang atau Pak Lah menang, tapi apakah kesannya kepada UMNO dan Melayu itu sendiri. Perpecahan pasti berlaku secara sedar atau tidak samada suka atau tidak. Persetankan mereka!!!!!!! kerana mereka yang akan menang nanti hanya melibatkan cita - cita politik mereka sungguhpun mereka berkokok hingar bingar bahwa merekalah yang akan dan sedang memperjuangkan hak rakyat dan hak bangsa. Yang pasti kini kita semakin keliru, semakin tertekan siapakah yang harus kita dengar namun yang pasti mungkin kita memerlukan pihak ketiga.

Orang Melayu mungkin harus perlu menerima hakikat bahwa , kita tidak boleh berstau sepenuhnya dalam erti kata yang sebenar. Zaman Malayan Union mungkin yang pertama dan terakhir orang Melayu bersatu bangkit menentang..kini tidak lagi. Apapun pergolakkan yang berlaku ini seharusnya mendewasakan Melayu, seharusnya menjadikan orang Melayu lebih peka akan masa hadapannya. Perebutan, penindasan dan penipuan kumpulan elit yang terus berperang demi hak peribadinya dan seterusnya meminggir mereka yang tidak tahu dan tidak berada. Dominasi Melayu sekarang terhad pada Melayu Perdana yang mahu menentukan pemilikan kuasa dan meminggirkan perjuangan sebenar. Ini harus dikesali dan mereka ini harus dipastikan gugur dalam menerajui kuasa.


Kita seharunya melihat kemungkaran, kesalahan dan perbuatan sumbang kepimpinan Melayu itu , dengan lebih jelas dan ahli - ahli UMNO wajib membuat keputusan yang tepat. Ahli - ahli UMNO harus sedar bahawa kesilapan kita dalam membuat pilihan akan sekadar membahayakan masa hadapan Melayu. Ahli UMNO hari ini seharusnya bijak menilai siapa yang bakal dilantik menjadi kepimpinan dan bertindak menolak kepimpinan yang selama ini gagal menaikkan martabat Melayu.

Persoalan Mahathir benar dan Pak Lah salah atau Pak Lah yang benar atau Mahathir seharusnya diukur dari kejayaan mereka dalam menjanakan kejayaan buat Melayu dan rakyat keseluruhannya.

Fikir...Fikir...kan...

MENJELANG PEMILIHAN UMNO BAHAGIAN

Hmmm...nampaknya angin pemilihan AJK Bahagian UMNO Puchong dah mula bertiup dari arah kg Sri Aman Puchong..Dengar dengarnya ada seekor BEROK yang selama ini tak pernah buat kerja , dan tak tahu buat kerja walaupun pangkatnya seorang setiausaha dah mula menggaruk kesana dan kesini. Maka terlompatlah beberapa lagi ekor Berok @ KC yang hanya punya kepentingan diri untuk bersama dengan ketua Berok jantan itu.

BEROK ini semakin galak apatah lagi dahan tempat dia selalu bergantung dah patah dengan kejatuhan kerajaan Negeri, dan BEROK ini bertambah galak untuk mencari dahan baru dan seboleh bolehnya mahu bertenggek di puncak dahan apabila mengetahui akan pecahnya persempadanan Puchong dan wujudnya Puchong Perdana.

Namun yang pasti kita seharusnya menggerakkan jentera mencantas dan memintas BEROK yang gatal ini dari bertakhta. BEROK ini kalau dah mula menongkat langit maka akan hancurlah dan punahlah UMNO Puchong ini.

Kita mungkin tidak banyak pilihan tapi... kita perlu memilih yang lain selain dari BEROK Makyeh dan anak anak didiknya.


YANG PASTI KITA TIDAK MAHU UMNO DIKERUMUNI OLEH BEROK BEROK INI KERANA KITA ADALAH MANUSIA, DAN KITA MAHU MENJADIKAN UMNO PARTI YANG DI TERAJUI OLEH INSAN YANG BERHEMAH, BERWIBAWA , CEKAP DAN KITA MAHU UMNO KEMBALI KEDASAR PERJUANGAN ALIF, BA TA.

WASSALAM.

TEMPOH UJIAN BAGI AHLI UMNO

Assalamualaikum,

PRU12 yang sudah pun berlalu masih belum dilupakan. Kekalahan UMNO dan BN di banyak tempat telah meninggalkan satu kesan yang mendalam bagi orang Melayu.

UMNO di Puchong masih terus membisu maka timbullah pelbagai pertanyaan dan andaian apakah UMNO sudah tidak mempedulikan apa yang berlaku?..atau mereka memang sudah tidak mahu ambil tahu?

Aku mula menjelajah dan menalipon kesana sini mencari jawapan... akhirnya aku ketahui juga apa yang terjadi...rupanya ramai yang tidak setia pada UMNO , ada yang sudah mula bercakap tentang ' Salin Baju' ada yang nak tubuhkan Pakatan Baru , ada yang nak melompat dan pelbagai lagi.

Maka ada baiknya kita tunggu dan lihat dulu, kita biarkan si lunchai terjun dengan labu-labunya,kita biarkan si pecacai ini jatuh kedalam najisnya dan kita biarkan si pengkhianat ini berlalu dan beredar. Mereka inilah yang selama ini 'Cakap Tak Serupa Bikin' mereka inilah 'Gunting Dalam Lipatan' . Kalau perlu kita bunuh , kita bunuh sahaja mereka ini. Selama mereka ini ada bersama dengan kita, maka UMNO tidak dapat bangkit, sedangkan kita perlukan 'PEJUANG PEJUANG SEJATI". Kita perlukan nafas baharu untuk kejayaan.

Semuga proses ini akan berjalan sebaik mungkin dan selepas si haprak dan penyangak ini pergi, baru kita mula mengatur strategi, menyelusup kesegenap negeri.

Bagi yang mengerti kuatkan semangat, tabahkan hati insyaAllah kita akan berjaya.

Dalam masa ini tugas kita adalah mengenal pasti musuh dan kawan, mengenal pasti pejuang dan petualang agar gerak kita nanti tidak terbantut dan dibantutkan.

YANG AKU HARAPKAN ADALAH PEJUANG,
BUKAN PENUMPANG DAN PETUALANG,
YANG AKU MAHUKAN ADALAH SEMANGAT SETIAKAWAN,
BUKAN SEMANGAT SETIAPADAM,
YANG AKU MAHUKAN ADALAH PERTAUTAN,
BUKAN PERBALAHAN,
AYUH SAHABAT,
KITA SATUKAN HATI,
SATUKAN SEMANGAT,
BERSATU DEMI MASA HADAPAN.


Wassalam.

Thursday, April 17, 2008

PERJUMPAAN NAJIB DAN UMNO SELANGOR 16/04/08



Pertemuan ini dilaporkan berjalan dalam suasana yang panas. Diluar dan dalam perjalanan ketempat perjumpaan poster digantung merata tempat menyatakan pendirian akr umbi di Selangor.
Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak menegaskan bahawa UMNO perlu muhasabah diri dan mencari kesilapan untuk diperbaiki . Pemimpin dan ahli UMNO harus manpilkan keterampilan baru, agar rakyat kembali meyakini dan menyokong UMNO.

Berucap kepada pemimpin empat peringkat semua Bahagian UMNO dalam Selangor dalam satu pertemuan tertutup dianjurkan Perhubungan UMNO Negeri Selangor di Sheraton Subang Jaya. Turut hadir dalam majlis ini ialah Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Mohd. Ali Rustam, Ketua Wanita UMNO Dato’ Seri Rafidah Aziz, Ketua Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, Ketua Puteri UMNO Dato’ Noraini Ahmad, Setiausaha Agung UMNO Tengku Dato’ Seri Adnan Tengku Mansor dan Bendahari Agung UMNO Dato’ Azim Zabidi.

Beliau menyatakan bahawa di Selangor, BN hanya mampu meraih 44% undi dan realitinya, 135,000 undi telah berpindah tangan.
Sekiranya tiada perubahan dilakukan, samada diperingkat Cawangan, atau Bahagian “Jika kita buat lagi, tambah lagi, jangan mimpi boleh menang!”. Beliau mengingatkan bahawa pemimpin perlu menjaga gelagat dan perlakuan kerana rakyat memerhatikan mereka.


Saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan untuk bangkit dan melakukan perubahan.

Tuesday, April 15, 2008

APA TUGAS SEORANG WAKIL RAKYAT

Assalamualaikum,

Wakil rakyat hanya sebagai corong, penyambung lidah rakyat. Maka itu , cara mereka berfikir, berbicara dan bertindak harus berpaksi atas kepentingan rakyat. Jika seorang wakil rakyat berfikir, berbicara, dan bertindak untuk dirinya sendiri, untuk suami/isterinya sendiri, keluarga serta kepentingannya sendiri, atas kepentingan kroninya, apatah lagi untuk menumpuk kekayaan bahkan berpesta dan berseronok seronok pada saat rakyat mengalami penderitaan, maka laknatullah baginya. Wakil rakyat diberi upah untuk melaksanakan kedaulatan rakyat. Ini bermakna bahwa tugas menjadi seorang wakil rakyat adalah suatu tugas yang mulia dan luhur. Maka fahamilah secara jelas agar jangan merosakkannya.

Sebagai wakil rakyat tentulah masyarakat memandang dan melihat kepada setiap budi bicaranya, dari cara ia berfikir, dan setiap perbuatannya akan menjadi contoh untuk orang lain sehingga ia (wakil rakyat) dipercayai mampu untuk membawa apa yang menjadi kehendak dan aspirasi rakyat.

Seorang wakil rakyat harus mampu menunjukkan pada rakyat sesuatu yang betul dan tepat demi keadilan dan kebenaran , bukannya menjadi dalang bahkan menimbulkan masalah sosial yang dapat menghancurkan tata nilai sosial yang dianggap baik dalam masyarakat sehingga terjadi ketidak seimbangan tata nilai.

Rakyat adalah pemilik/pemegang kedaulatan yang sebenarnya. Sebagai pemilik, rakyat berhak untuk mengambilnya kembali jika kedaulatan yang dipercayakan itu tidak dilaksanakan dengan baik. Rakyat berhak diatas kedaulatan tersebut dan juga menentukan kepada siapa kedaulatan itu akan diberikan.

Kini sudah saatnya bahwa setiap orang sebagai pemilik kedaulatan ini bangun dari tidurnya yang panjang dan terlelap dek buaian janji janji kosong pemimpin yang dijalankan demi kepentingan peribadi tertentu.

Agar tidak terjadi lagi representasi yang tidak bermoral, rakyat harus lebih peka dalam memberikan kepercayaan kepada wakil-wakil rakyat dengan memilih hanya yang mampu bekerja untuk kepentingan rakyat.

Kita tidak lagi mampu menanti dan menunggu kemunculan wakil rakyat, tapi inilah masanya untuk kita menuntut wakil rakyat turun keakar umbi dan menunaikan janji.

BERJUANG DEMI MASA HADAPAN !!!!!

Ismail Rubani.

DI MANA WAKIL RAKYAT KAMI

Dato' Hj Mohd Satim masih belum muncul...tenggelam dan tidak timbul..soalnya di mana beliau..adakah sebok memantau..orang lain tapi melupakan pengundi beliau...

Apakah kemenangan 45 undi itu cukup hebat bagi beliau..cukup gah bagi beliau...

KAMI MENUNTUT BELIAU TURUN KE GELANGGANG ... ADA BANYAK PERKARA YANG BELUM DISELESAIKAN...

LAPORAN ANALISA PILIHANRAYA PDM13 /PUSAT MENGUNDI SKPI

Assalamualaikum,

Laporan ini telah dihantar kepada ADUN N29 Sri Serdang Dato' Hj Mohd Satim Dimanmelalui Ketua Cawangan UMNO Puchong Indah 1. Namun apa yang menyedihkan tidak ada tindak balas dan respon dari ADUN. Hal jelas menunjukan bahwa Dato' Hj Mohd Satim tidak berminat untuk menyelesaikan masalah setempat.
Beliau cukup berbangga dengan kemenanangan 45 undi di DUN Sri Serdang.
Persoalannya apakah kita masih memerlukan beliau sebagai ADUN?

FIKIR FIKIRKAN LAH...........


DATA – DATA RUJUKAN

Jumlah Pengundi N29 = 4068 orang.
Jumlah Keluar Mengundi = 3174 Orang
Peratus Pengundian = 78.02%

Taburan Pengundi Mengikut Kaum

Melayu = 34%
Cina = 30%
India = 34%
Lain-lain = 1%

DATA PILIHANRAYA DUN N29 SEKOLAH KEBANGSAAN PUCHONG INDAH.

Jumlah Undi PAS = 1830 undi.
Jumlah Undi BN = 1269 undi.
Jumlah Undi Rosak = 75 undi.
Majoriti PAS atas BN di Puchong Indah = 561 undi.

ULASAN.

Dato’ Hj Mohd Satim bin Diman calon Barisan Nasional secara jelas kalah di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Puchong Indah dengan majoriti 561 undi. Perkara yang amat perlu diteliti adalah kekalahan Dato’ Satim pada semua saluran mengundi. Saluran empat (4) dan saluran enam (6) memperlihatkan beza undi yang amat ketara. Ini perlu dilihat dengan jelas bahwa kumpulan pengundi yang berumur sekitar 39-43 tahun (saluran 4) dan yang berumur sekitar 31-35 tahun (saluran 6) adalah mewakili golongan yang paling ramai menolak kepimpinan Barisan Nasional.
Merujuk kepada Carta 5 (sila download laporan lengkap) dapat di lihat dengan jelas bahwa taburan pengundi mengikut kaum adalah hampir sama pada kedua-dua saluran ini. Ironinya Barisan Nasional ditolak bukan sahaja oleh pengundi Melayu malah pengundi Cina dan India.
Ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat dan satu penyelesaian segera harus dicari dan dikaji bagi memastikan perkara ini dapat diatasi secepat mungkin sebelum PRU13.
Merujuk kepada carta 3 , seramai 931 orang tidak keluar mengundi pada PRU12 kali ini. Dari jumlah itu 45% adalah pengundi Melayu. Golongan ini perlu didekati dan difahami bagi mengenal pasti masalah sebenar.

FAKTOR –FAKTOR PERSEKITARAN YANG AMAT MEMPENGARUHI MINAT DAN KECENDERUNGAN PENGUNDI DALAM PRU KALI INI.

a) Sebelum PRU

1) Kelemahan pentadbiran masjid.
Kepimpinan yang tidak berwibawa. Banyak isu - isu terutamanya pengendalian kewangan yang mencurigakan.
Nazir yang di lantik tidak mendapat restu orang ramai serta tidak mempunyai pengetahuan agama yang mendalam juga gagal menjalankan tugas dengan sempurna.
Kebanyakan Ahli Jawatankuasa juga tidak berkelayakan dan tidak mempunyai ilmu agama yang mencukupi . Sistem lantikan juga adalah tidak melalui proses yang betul. Kebanyakan mereka ini pula lebih berminat mengambil kesempatan untuk hal peribadi dari menumpukan usaha memakmurkan Masjid. Mereka yang berwibawa pula diberhentikan tanpa sebab yang munasabah.
Sombong dan meninggi diri. Tidak mahu menerima cadangan dan nasihat.
Gagal menjaga hak Melayu sehingga berlakunya rampasan surau Puchong Indah. Memo, rintihan dan bantahan penduduk yang langsung tidak mendapat perhatian sewajarnya.

2) Banjir di Puchong Indah.
o Tiada tindakan segera diambil pada kejadian pertama sehinggalah berlakunya kejadian kedua ketika proses pilihanraya semakin hampir.
o Penduduk tidak mendapat maklumat sewajarnya tentang tindakan yang telah dan akan diambil.

3) Kelemahan/ kesilapan oleh Pucuk Pimpinan Bahagian

a) Kegagalan Kepimpinan Peringkat Atasan / Bahagian hadir pada majlis-majlis bersama penduduk tanpa alasan yang munasabah atau gagal menepati waktu.
o Majlis Jamuan Hari Raya.
o Ponggal – perayaan masyarakat India
o Mesyuarat PIBG Sekolah.

b) Komunikasi dua hala yang tidak berkesan antara Bahagian dan cawangan-cawangan UMNO. Hasilnya maklumat dan arahan tidak sampai dengan tepat ke peringkat akar umbi. Objektif dan keinginan pucuk pimpinan pusat hanya mati di tengah jalan. Konsep Islam Hadhari, Pembangunan Modal Insan dan selainnya hanya tinggal slogan yang mampu dilaung dan diusung tanpa memahami konteks sebenar.

c) Kepimpinan yang tidak tidak telus di setengah-setengah cawangan dan juga di Bahagian. Pemimpin sukar untuk dihampiri kecuali melalui individu-individu tertentu.

d) Pembahagian kerja terutamanya projek yang tidak telus. Hanya di kuasai oleh kumpulan-kumpulan elit.

e) Terlalu mempercayai orang bawahan dan bertindak tanpa usul periksa. Bersikap acuh tak acuh dan “TIDAK APA” atas komen dan kritikan orang bawahan.

f) Kepimpinan pemuda yang rapuh.
Tidak menghormati orang ramai dan orang yang lebih tua. Pemuda UMNO lebih di lihat sebagai samseng jalanan.
Tidak mempunyai jatidiri perjuangan Melayu dan Islam yang tulen.
Kepimpinan yang lemah dan sombong.
Tidak menumpukan kepada pembangunan Pemuda serta bekerja tanpa keikhlasan melainkan mengharapkan imbuhan.

b) Semasa PRU

1) Kelemahan Gerak Gempur Pemuda.
o Kelembapan pemasangan poster pada tempat-tempat strategik sehingga jentera pihak pembangkang di lihat bergerak lebih cepat dan cekap.
o Tiada perancangan gerak kerja yang bersepadu.
o Kegagalan Ketua Pemuda dan Timbalannya mengatur kerja dengan teratur.
o Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada pengikut.

2) Kerjasama Berpasukan – “Teamwork”

o Tiada sumbangan dan sokongan yang sewajarnya dari Bahagian.
o Kegagalan cawangan – cawangan dalam membantu menggerakkan PDM.
o Tidak memberi kerjasama yang jitu dan tidak menunjukkan minat terhadap tugas yang di beri.
o Gagal menghadiri mesyuarat gerak kerja PDM.
o Percakaran tentang wang agihan yang tidak serata di peringkat gerak kerja cawangan. Keadaan ini menimbulkan kemarahan serta perasaan tidak puas hati di kalangan ahli gerak kerja cawangan. PDM telah mengagihkan wang ketua-ketua cawangan namun tidak di sampaikan secara jujur kepada ahli yang bertugas.
o Bilik – bilik gerakan cawangan yang gagal berfungsi dan di tutup pada tempoh masa kempen.
o K10 tidak dapat berfungsi dengan baik oleh kerana senarai yang diberi tidak tepat dan bercelaru. Anggota K10 tidak berpengalaman dan berkebolehan untuk berinteraksi dengan pengundi yang ditemui secara lebih efektif.
o Percaturan unit kenderaaan yang tidak teratur . Hanya beberapa cawangan sahaja yang bergerak. Tiada kenderaan yang membantu mengangkut pengundi di kawasan perumahan seperti yang berlaku di Puchong Intan.
o Tiada bantuan dari parti-parti komponen seperti MIC/MCA. Ini dapat dilihat dengan jelas apatah lagi kegagalan ahli parti komponen membantu di pondok barung pada hari mengundi.

3) PEKIDA

o Memberi gambaran buruk terutamanya terhadap masyarakat India. Mereka merasakan kehadiran PEKIDA memberi ancaman kepada mereka..
o Memberi gambaran negatif bahwa akan adanya rusuhan dan kekacauan di kawasan setempat.

Segala kelemahan ini di tambah dengan isu – isu besar di peringkat Nasional dapat dieksploitasi dengan mudah oleh pihak pembangkang seterusnya memastikan kejayaan mereka dalam PRU12.

CADANGAN – CADANGAN PEMBAIKAN.

1) Mewujudkan pusat – pusat aduan setempat (Single Point Of Contact – SPOC) mewakili DUN di kawasan pengundian. Semua parti komponen seharusnya meletakkan wakil mereka di situ.
2) Mewujudkan gerak kerja bersepadu melibatkan semua parti-parti komponen. Satu PDM yang di wakili oleh wakil dari setiap parti komponen.
3) Pengagihan imbuhan yang setara. Di kawal oleh satu gerak kerja di peringkat bahagian bukan oleh pihak cawangan.
4) Mewujudkan ‘think-tank’ group bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah setempat.
5) Menggunakan sebaik mungkin kemajuan Teknologi Maklumat dan ICT sebagai media penyebaran maklumat dan aduan secara ‘on-line’. Media ini juga di guna pakai sebagai benteng serangan “Cyber- Troopers”.
6) Melatih anggota K10, Pemuda dan AJK cawangan tentang teknik dan kaedah komunikasi berkesan.
7) Mengemaskini senarai pengundi di kawasan pengundian secara berterusan.
8) Mengenal pasti dan melatih pemimpin - pemimpin PEMUDA yang amanah, berwibawa, cekap dan berketrampilan.
9) Mengenal pasti pemimpin-pemimpin kaum India dan China di kawasan pengundian dan seterusnya menjalin kerjasama erat dengan mereka.
10) Memperbaiki dan memperkuat jentera kerja cawangan dengan melantik pemimpin-pemimpin yang sanggup bekerja demi kepentingan Parti.
11) Mengenalpasti dan membawa masuk golongan professional setempat bagi menyertai UMNO dan komponen-komponen lainnya.
12) Mempermudah urusan pendaftaran ahli baru dan perpindahan ahli. Urusan boleh di buat secara “on-line” dan melalui sistem pendaftaran setempat.
13) Membantu mendaftarkan pengundi –pengundi baru melalui gerak kerja rumah kerumah di peringkat cawangan. Gerak kerja ini juga bertanggung jawab membantu perpindahan pengundi dari kawasan lain.
14) Mendekati pengundi pelbagai kaum melalui program – program kemasyarakatan yang beterusan.
15) Mendekati dan melatih golongan muda/remaja dengan menyediakan program-program bersepadu seterusnya membentuk kekuatan jatidiri yang utuh.
16) Menghidupkan kembali gerakan belia 4B.
17) Mewujudkan rangsangan ekonomi bagi membantu golongan muda/remaja mendapatkan sumber pendapatan yang stabil.
18) Melantik ahli-ahli veteran sebagai penasihat cawangan.

KESIMPULAN.

Segala fakta dan cadangan di atas dibuat dengan matlamat dan tujuna kebaikan UMNO khususnya dan Barisan Nasional amnya. Segala masalah dan kelemahan harus ditampung secepat mungkin bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus relevan dan diterima pengundi.

Kebanyakan permasalahan yang disebut sememangnya diketahui umum, namun tiada penyelesaian segera yang dibuat. Keadaan ini menyebabkan ramai pengundi bosan dan marah. Kesempatan ini di gunakan sebaiknya oleh pihak pembangkang bagi menghasilkan keputusan yang di luar dugaan.

Kekalahan BN secara menyeluruh di Selangor ini merupakan satu tamparan hebat pada asas perjuangan UMNO khususnya. Orang Melayu terpaksa membayar satu harga yang mahal di atas kekalahan ini.
Kegagalan parti – parti komponen yang mewakili China dan India serta UMNO sebagai tulang belakang BN haruslah mampu bekerja secara efektif di peringkat bahagian/cawangan demi menjamin kejayaan masa hadapan.

Kekalahan ini seharusnya di terima sebagai kegagalan kita dalam mengawal selia dan menerajui parti dengan berkesan.

Kita seharusnya menerima segala komen dengan hati yang terbuka dan melihat lebih jauh dan kembali kepada asas perjuangan parti. Ini adalah sesuatu yang amat perlu bagi memperbetul pandangan masyarakat terhadap UMNO khususnya dan BN amnya yang pada ketika ini amat serong dan menjengkelkan.

Semua pimpinan dari peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat Bahagian haruslah bersedia untuk berubah dan melakukan anjakan paradigma secara menyeluruh demi perjuangan Melayu.
Kegagalan kita memenangi hati pengundi adalah merupakan kemusnahan akan datang. Barisan Nasional amnya dan UMNO khususnya harus merangka satu pelan bersepadu secepat mungkin dalam memastikan kejayaan di PRU akan datang.


analisa pilihanraya puchong indah




SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum,

Blog ini akan memaparkan segala aktiviti aktiviti parti dan kemasyarakatan serta segala permasalahan yang berlaku di sekitar Puchong Indah untuk tatapan dan komen. Segala laporan akan disediakan secara telus tanpa ada tapisan.
Jika pembaca mempunyai sebarang masalah di kawasan sekitar boleh lah menghubungi saya untuk dihebahkan disini.

email : umnopuchong@gmail.com

Wassalam.