Tuesday, April 15, 2008

LAPORAN ANALISA PILIHANRAYA PDM13 /PUSAT MENGUNDI SKPI

Assalamualaikum,

Laporan ini telah dihantar kepada ADUN N29 Sri Serdang Dato' Hj Mohd Satim Dimanmelalui Ketua Cawangan UMNO Puchong Indah 1. Namun apa yang menyedihkan tidak ada tindak balas dan respon dari ADUN. Hal jelas menunjukan bahwa Dato' Hj Mohd Satim tidak berminat untuk menyelesaikan masalah setempat.
Beliau cukup berbangga dengan kemenanangan 45 undi di DUN Sri Serdang.
Persoalannya apakah kita masih memerlukan beliau sebagai ADUN?

FIKIR FIKIRKAN LAH...........


DATA – DATA RUJUKAN

Jumlah Pengundi N29 = 4068 orang.
Jumlah Keluar Mengundi = 3174 Orang
Peratus Pengundian = 78.02%

Taburan Pengundi Mengikut Kaum

Melayu = 34%
Cina = 30%
India = 34%
Lain-lain = 1%

DATA PILIHANRAYA DUN N29 SEKOLAH KEBANGSAAN PUCHONG INDAH.

Jumlah Undi PAS = 1830 undi.
Jumlah Undi BN = 1269 undi.
Jumlah Undi Rosak = 75 undi.
Majoriti PAS atas BN di Puchong Indah = 561 undi.

ULASAN.

Dato’ Hj Mohd Satim bin Diman calon Barisan Nasional secara jelas kalah di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Puchong Indah dengan majoriti 561 undi. Perkara yang amat perlu diteliti adalah kekalahan Dato’ Satim pada semua saluran mengundi. Saluran empat (4) dan saluran enam (6) memperlihatkan beza undi yang amat ketara. Ini perlu dilihat dengan jelas bahwa kumpulan pengundi yang berumur sekitar 39-43 tahun (saluran 4) dan yang berumur sekitar 31-35 tahun (saluran 6) adalah mewakili golongan yang paling ramai menolak kepimpinan Barisan Nasional.
Merujuk kepada Carta 5 (sila download laporan lengkap) dapat di lihat dengan jelas bahwa taburan pengundi mengikut kaum adalah hampir sama pada kedua-dua saluran ini. Ironinya Barisan Nasional ditolak bukan sahaja oleh pengundi Melayu malah pengundi Cina dan India.
Ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat dan satu penyelesaian segera harus dicari dan dikaji bagi memastikan perkara ini dapat diatasi secepat mungkin sebelum PRU13.
Merujuk kepada carta 3 , seramai 931 orang tidak keluar mengundi pada PRU12 kali ini. Dari jumlah itu 45% adalah pengundi Melayu. Golongan ini perlu didekati dan difahami bagi mengenal pasti masalah sebenar.

FAKTOR –FAKTOR PERSEKITARAN YANG AMAT MEMPENGARUHI MINAT DAN KECENDERUNGAN PENGUNDI DALAM PRU KALI INI.

a) Sebelum PRU

1) Kelemahan pentadbiran masjid.
Kepimpinan yang tidak berwibawa. Banyak isu - isu terutamanya pengendalian kewangan yang mencurigakan.
Nazir yang di lantik tidak mendapat restu orang ramai serta tidak mempunyai pengetahuan agama yang mendalam juga gagal menjalankan tugas dengan sempurna.
Kebanyakan Ahli Jawatankuasa juga tidak berkelayakan dan tidak mempunyai ilmu agama yang mencukupi . Sistem lantikan juga adalah tidak melalui proses yang betul. Kebanyakan mereka ini pula lebih berminat mengambil kesempatan untuk hal peribadi dari menumpukan usaha memakmurkan Masjid. Mereka yang berwibawa pula diberhentikan tanpa sebab yang munasabah.
Sombong dan meninggi diri. Tidak mahu menerima cadangan dan nasihat.
Gagal menjaga hak Melayu sehingga berlakunya rampasan surau Puchong Indah. Memo, rintihan dan bantahan penduduk yang langsung tidak mendapat perhatian sewajarnya.

2) Banjir di Puchong Indah.
o Tiada tindakan segera diambil pada kejadian pertama sehinggalah berlakunya kejadian kedua ketika proses pilihanraya semakin hampir.
o Penduduk tidak mendapat maklumat sewajarnya tentang tindakan yang telah dan akan diambil.

3) Kelemahan/ kesilapan oleh Pucuk Pimpinan Bahagian

a) Kegagalan Kepimpinan Peringkat Atasan / Bahagian hadir pada majlis-majlis bersama penduduk tanpa alasan yang munasabah atau gagal menepati waktu.
o Majlis Jamuan Hari Raya.
o Ponggal – perayaan masyarakat India
o Mesyuarat PIBG Sekolah.

b) Komunikasi dua hala yang tidak berkesan antara Bahagian dan cawangan-cawangan UMNO. Hasilnya maklumat dan arahan tidak sampai dengan tepat ke peringkat akar umbi. Objektif dan keinginan pucuk pimpinan pusat hanya mati di tengah jalan. Konsep Islam Hadhari, Pembangunan Modal Insan dan selainnya hanya tinggal slogan yang mampu dilaung dan diusung tanpa memahami konteks sebenar.

c) Kepimpinan yang tidak tidak telus di setengah-setengah cawangan dan juga di Bahagian. Pemimpin sukar untuk dihampiri kecuali melalui individu-individu tertentu.

d) Pembahagian kerja terutamanya projek yang tidak telus. Hanya di kuasai oleh kumpulan-kumpulan elit.

e) Terlalu mempercayai orang bawahan dan bertindak tanpa usul periksa. Bersikap acuh tak acuh dan “TIDAK APA” atas komen dan kritikan orang bawahan.

f) Kepimpinan pemuda yang rapuh.
Tidak menghormati orang ramai dan orang yang lebih tua. Pemuda UMNO lebih di lihat sebagai samseng jalanan.
Tidak mempunyai jatidiri perjuangan Melayu dan Islam yang tulen.
Kepimpinan yang lemah dan sombong.
Tidak menumpukan kepada pembangunan Pemuda serta bekerja tanpa keikhlasan melainkan mengharapkan imbuhan.

b) Semasa PRU

1) Kelemahan Gerak Gempur Pemuda.
o Kelembapan pemasangan poster pada tempat-tempat strategik sehingga jentera pihak pembangkang di lihat bergerak lebih cepat dan cekap.
o Tiada perancangan gerak kerja yang bersepadu.
o Kegagalan Ketua Pemuda dan Timbalannya mengatur kerja dengan teratur.
o Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada pengikut.

2) Kerjasama Berpasukan – “Teamwork”

o Tiada sumbangan dan sokongan yang sewajarnya dari Bahagian.
o Kegagalan cawangan – cawangan dalam membantu menggerakkan PDM.
o Tidak memberi kerjasama yang jitu dan tidak menunjukkan minat terhadap tugas yang di beri.
o Gagal menghadiri mesyuarat gerak kerja PDM.
o Percakaran tentang wang agihan yang tidak serata di peringkat gerak kerja cawangan. Keadaan ini menimbulkan kemarahan serta perasaan tidak puas hati di kalangan ahli gerak kerja cawangan. PDM telah mengagihkan wang ketua-ketua cawangan namun tidak di sampaikan secara jujur kepada ahli yang bertugas.
o Bilik – bilik gerakan cawangan yang gagal berfungsi dan di tutup pada tempoh masa kempen.
o K10 tidak dapat berfungsi dengan baik oleh kerana senarai yang diberi tidak tepat dan bercelaru. Anggota K10 tidak berpengalaman dan berkebolehan untuk berinteraksi dengan pengundi yang ditemui secara lebih efektif.
o Percaturan unit kenderaaan yang tidak teratur . Hanya beberapa cawangan sahaja yang bergerak. Tiada kenderaan yang membantu mengangkut pengundi di kawasan perumahan seperti yang berlaku di Puchong Intan.
o Tiada bantuan dari parti-parti komponen seperti MIC/MCA. Ini dapat dilihat dengan jelas apatah lagi kegagalan ahli parti komponen membantu di pondok barung pada hari mengundi.

3) PEKIDA

o Memberi gambaran buruk terutamanya terhadap masyarakat India. Mereka merasakan kehadiran PEKIDA memberi ancaman kepada mereka..
o Memberi gambaran negatif bahwa akan adanya rusuhan dan kekacauan di kawasan setempat.

Segala kelemahan ini di tambah dengan isu – isu besar di peringkat Nasional dapat dieksploitasi dengan mudah oleh pihak pembangkang seterusnya memastikan kejayaan mereka dalam PRU12.

CADANGAN – CADANGAN PEMBAIKAN.

1) Mewujudkan pusat – pusat aduan setempat (Single Point Of Contact – SPOC) mewakili DUN di kawasan pengundian. Semua parti komponen seharusnya meletakkan wakil mereka di situ.
2) Mewujudkan gerak kerja bersepadu melibatkan semua parti-parti komponen. Satu PDM yang di wakili oleh wakil dari setiap parti komponen.
3) Pengagihan imbuhan yang setara. Di kawal oleh satu gerak kerja di peringkat bahagian bukan oleh pihak cawangan.
4) Mewujudkan ‘think-tank’ group bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah setempat.
5) Menggunakan sebaik mungkin kemajuan Teknologi Maklumat dan ICT sebagai media penyebaran maklumat dan aduan secara ‘on-line’. Media ini juga di guna pakai sebagai benteng serangan “Cyber- Troopers”.
6) Melatih anggota K10, Pemuda dan AJK cawangan tentang teknik dan kaedah komunikasi berkesan.
7) Mengemaskini senarai pengundi di kawasan pengundian secara berterusan.
8) Mengenal pasti dan melatih pemimpin - pemimpin PEMUDA yang amanah, berwibawa, cekap dan berketrampilan.
9) Mengenal pasti pemimpin-pemimpin kaum India dan China di kawasan pengundian dan seterusnya menjalin kerjasama erat dengan mereka.
10) Memperbaiki dan memperkuat jentera kerja cawangan dengan melantik pemimpin-pemimpin yang sanggup bekerja demi kepentingan Parti.
11) Mengenalpasti dan membawa masuk golongan professional setempat bagi menyertai UMNO dan komponen-komponen lainnya.
12) Mempermudah urusan pendaftaran ahli baru dan perpindahan ahli. Urusan boleh di buat secara “on-line” dan melalui sistem pendaftaran setempat.
13) Membantu mendaftarkan pengundi –pengundi baru melalui gerak kerja rumah kerumah di peringkat cawangan. Gerak kerja ini juga bertanggung jawab membantu perpindahan pengundi dari kawasan lain.
14) Mendekati pengundi pelbagai kaum melalui program – program kemasyarakatan yang beterusan.
15) Mendekati dan melatih golongan muda/remaja dengan menyediakan program-program bersepadu seterusnya membentuk kekuatan jatidiri yang utuh.
16) Menghidupkan kembali gerakan belia 4B.
17) Mewujudkan rangsangan ekonomi bagi membantu golongan muda/remaja mendapatkan sumber pendapatan yang stabil.
18) Melantik ahli-ahli veteran sebagai penasihat cawangan.

KESIMPULAN.

Segala fakta dan cadangan di atas dibuat dengan matlamat dan tujuna kebaikan UMNO khususnya dan Barisan Nasional amnya. Segala masalah dan kelemahan harus ditampung secepat mungkin bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus relevan dan diterima pengundi.

Kebanyakan permasalahan yang disebut sememangnya diketahui umum, namun tiada penyelesaian segera yang dibuat. Keadaan ini menyebabkan ramai pengundi bosan dan marah. Kesempatan ini di gunakan sebaiknya oleh pihak pembangkang bagi menghasilkan keputusan yang di luar dugaan.

Kekalahan BN secara menyeluruh di Selangor ini merupakan satu tamparan hebat pada asas perjuangan UMNO khususnya. Orang Melayu terpaksa membayar satu harga yang mahal di atas kekalahan ini.
Kegagalan parti – parti komponen yang mewakili China dan India serta UMNO sebagai tulang belakang BN haruslah mampu bekerja secara efektif di peringkat bahagian/cawangan demi menjamin kejayaan masa hadapan.

Kekalahan ini seharusnya di terima sebagai kegagalan kita dalam mengawal selia dan menerajui parti dengan berkesan.

Kita seharusnya menerima segala komen dengan hati yang terbuka dan melihat lebih jauh dan kembali kepada asas perjuangan parti. Ini adalah sesuatu yang amat perlu bagi memperbetul pandangan masyarakat terhadap UMNO khususnya dan BN amnya yang pada ketika ini amat serong dan menjengkelkan.

Semua pimpinan dari peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat Bahagian haruslah bersedia untuk berubah dan melakukan anjakan paradigma secara menyeluruh demi perjuangan Melayu.
Kegagalan kita memenangi hati pengundi adalah merupakan kemusnahan akan datang. Barisan Nasional amnya dan UMNO khususnya harus merangka satu pelan bersepadu secepat mungkin dalam memastikan kejayaan di PRU akan datang.


analisa pilihanraya puchong indah




0 comments: